Kalau benar sembahyang dibuat bukan setakat ilmu, tapi difahami dan dihayati, akan lahirlah manusia yang berjiwa besar. Bangsa yang kuat adalah bangsa yang berjiwa besar. Bagi bangsa yang berjiwa besar, tidak ada gunung yang sebegitu tinggi. Tidak ada lautan yang tidak boleh diseberangi dan tidak ada lurah dan gaung yang tidak boleh diharungi. Ertinya tidak ada kecewa, buntu dan putus asa baginya.
Sembahyang boleh menjadikan bangsa itu berjiwa besar. Bagaimana sembahyang boleh membina jiwa besar? Mari kita lihat kepada ucapan dan pengakuan kalimah "Allahuakbar" yang terjemahannya ialah "Allah Maha Besar," yang kita sebut berulang-ulang kali di dalam sembahyang. Di antara maksudnya ialah:
1. Di dalamnya terhimpun semua sifat Allah, semua Asmaul husna, semua kebesaran dan kekuasaan Allah. Tuhan adalah pemilik segalanya, pentadbir dunia dan Akhirat. Dia yang mewujudkan dan mentiadakan. Dia penentu dan pemutus sama ada baik atau buruk. Maha Hebat dan Maha Sempurna Tuhan. Maka layaklah seluruh pujian dikembalikan kepada-Nya. Kita manusia, tidak layak dipuji tetapi selayaknya dihina sebab kita tidak memiliki apa-apa. Kalau dihayati kalimah ini, si hamba akan bergantung sepenuhnya pada Tuhan
2. Allah Maha Besar juga bermaksud, Dia tidak serupa makhluk ciptaan-Nya. Tuhan tidak serupa malaikat, manusia, gunung, binatang, syaitan, jin dan tidak serupa dengan apa jua. Zat-Nya tidak boleh dibayangkan. Mustahil dapat dibayangkan. Maha Suci Allah daripada menyerupai segala sesuatu.
Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kuasa-Nya. Satu Zat yang tidak nampak kewujudan-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Tidak hebatkah? Kalau dihayati sembahyang, kita akan terasa terlalu hebatnya Tuhan hingga terasa besarnya jiwa kita kerana dapat bersandar kepada satu Zat yang Maha Hebat.
3. Lantas kerana kesempurnaan-Nya, Tuhan boleh buat apa sahaja. Tuhan suruh kita minta apa sahaja keperluan dari-Nya. Di antara yang disuruh minta ialah Siratal mustaqim yakni minta jalan yang lurus supaya tidak tersesat ke jalan syaitan dan Yahudi. Dia juga suruh kita minta ampun, minta hidayah dan rezeki. Begitu sekali Tuhan bersedia melayani kita. Kita serah dirilah kepada-Nya dan mintalah segala apa yang kita kehendaki kerana Dia mampu mengadakannya. Tidak hebatkah kalau kita berkawan dengan Kuasa seperti itu?
Hasil dari sembahyang yang dihayati ialah rasa beriman dan bertaqwa. Kalau itulah yang kita rasa maka akan timbullah rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertaqwa itu, Tuhan akui sebagai orang-Nya. Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya berbagai-bagai perkara termasuk keselamatannya, kemenangannya dan kejayaannya. Tuhan mempunyai tentera yang pelbagai termasuk angin, air dan malaikat. Tuhan boleh arah mereka bertindak. Kalau inilah keyakinan hasil dari solat kita maka kita akan beroleh jiwa yang besar.
Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan sembahyang. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar. |